Jumaat, Disember 04, 2009

Jangan Sampai Kita Kehilangan Fatine

Alangkah mudahnya untuk kita menyalahkan seseorang. Fatine boleh sahaja disalahkan bahkan dihukum kerana apa yang telah dilakukannya.

Jangan tampilkan dulu hukuman yang bakal diterima Fatine. Keutamaannya ialah, bagaimana untuk menyerlahkan kepada Fatine bahawa masalah yang dihadapinya itu ada penyelesaiaannya mengikut Islam?

Bagaimana untuk menampilkan kepadanya 'kemesraan' Islam kepada orang sepertinya? Islam tidak menzalimi manusia sepertinya tetapi Islam tampil sebagai penyelamat manusia. Persoalannya, bagaimana mengemukakan Islam sebagai penyelamat kepada Fatine?

Semenjak sekian lama Islam dimomok. Di negara kita sendiri, orang yang bakal memeluk Islam ditakutkan dengan ‘potong’. Seolah-olah itu adalah kemuncak Islam. Pada hal hakikatnya ada perkara lain dalam Islam yang boleh menarik manusia menerimanya. Keadilan adalah salah satu daripadanya.

Pihak berkuasa agama negara kita perlu menyelamatkan Fatine. Jangan tunggu dia pulang sendiri kalau sekiranya diketahui aqidahnya terjejas. Ungkapan ‘dia pandai pergi, pandailah dia pulang’ sewajarnya tidak keluar daripada mulut pemimpin agensi agama kita.

Kalau benar Fatine bersalah dalam perkara agama, dia perlu disedarkan mengenai kesalahannya itu. Orang yang menjadi baik selepas bersalah lebih baik daripada orang yang merasa dirinya tidak pernah bersalah.

Justeru, apa salahnya Fatine dihulurkan bantuan dan pertolongan. Demi aqidahnya, demi sebuah jiwa manusia Muslim. Adakah Fatine menjadi tidak berharga lagi selepas kesilapan yang dibuatnya itu?

Pusat Islam mesti menyelamatkan Fatine, aqidahnya dan agamanya. Jangan sampai Fatine nampak bahawa Islam tidak membela orang sepertinya, atau Islam tidak menyediakan ruang untuk orang sepertinya, hanya kerana sikap orang Islam sendiri yang tidak bersedia membantunya.

Kita tentu pernah membaca hadis yang menceritakan kisah lelaki yang membunuh 99 nyawa dan membunuh lagi menjadi 100 nyawa hanya kerana dia tidak dilayan dengan cara yang betul oleh seseorang.

Namun kesudahannya dia mendapat rahmat Tuhan apabila seorang hamba Allah yang alim menunjukkan jalan keluar kepada masalah yang dihadapinya. Bukankah ini pendekatan yang perlu diambil, menyediakan jalan keluar untuknya?

Tidak mustahil juga kita akan kehilangan seorang Muslim bernama Fatine sekiranya kita gagal membelanya dan dia dibela oleh orang lain yang tidak seagama dengannya. Harap-harap itu tidak berlaku.

Khamis, Disember 03, 2009

Ayuh, Kita Doakan Umno Lingkup

Doa adalah rahsia antara hamba dengan Penciptanya. Bahkan agama memang menggalakkan supaya seseorang itu berdoa dengan perlahan-lahan kerana Pencipta manusia adalah Maha Mendengar. Pencipta kita membenci orang yang berdoa dengan suara keras.

Tok Guru Nik Aziz boleh berdoa secara senyap-senyap sahaja supaya orang itu dan parti itu musnah. Orang itu tidak tahu, Hishamuddin tak tahu, Mufti Perak tak tahu, Noh Gadut tak tahu dan profesor-profesor universiti yang menghentam Tok Guru pun tak tahu.

Kita pun tidak tahu. Tahu-tahu, orang itu dan parti itu musnah sahaja andai doa itu termakbul.

Tetapi, mengapa Tok Guru menyebutnya secara terang-terangan? Ada orang parti itu boleh tolong jawab soalan tadi?

Tok Guru ada tujuan tersendiri mengapa perkara itu disebut secara terang-terangan. Kalau dia tidak menyebutnya pun boleh, tak mengapa, tetapi dia mengambil keputusan untuk menyebutnya. Mengapa?

Bagi saya, Tok Guru ingin menyedarkan orang ramai mengenai kejahatan orang itu dan parti itu. Kejahatan orang itu dan parti itu tidak disedari oleh mereka yang mabuk dengan irama dan khayalan yang didendangkan oleh orang itu dan parti itu.

Dendangan orang itu menyebabkan sebahagian Mufti dan ustaz yang menyokong parti itu, juga profesor yang mengampu orang itu dan parti itu terlena, terleka, lalai dan lupa. Mereka lalai dan ralit bahawa parti itu dan orang itu telah, sedang dan akan merampas hak orang lain.

Isunya bukan doa. Isunya ialah orang itu dan parti itu jahat. Orang itu dan parti itu tidak menunaikan amanah. Itu yang ramai orang tak sedar termasuk Mufti, bekas Mufti dan profesor.

Selepas Tok Guru menyebut akan berdoa untuk kemusnahan orang itu dan parti itu, barulah orang itu dan parti itu terkejut besar. Barulah Mufti, ustaz dan profesor yang membodek parti itu terjaga daripada khayalan masing-masing.

Bila isu itu dikaitkan dengan doa, barulah Hishamuddin, Harussani, Noh, profesor-profesor itu terkejut. Wah, rupa-rupanya ada kejahatan yang dibuat oleh orang itu sehingga Tok Guru terpaksa menyebut secara terang-terangan untuk berdoa memusnahkan orang itu dan parti itu.

Itu sebenarnya penangan pengumuman doa Tok Guru tersebut.

Ayoh, mari kita semua berdoa perlahan-perlahan supaya orang itu dan parti itu musnah. Apa macam? Apa kata Hishamuddin? Tok Guru Nik Aziz berdoa secara senyap-senyap, macam mana?

Mana lebih bahaya, doa senyap-senyap dengan doa bising-bising? Nasib baik Tok Guru bising, boleh juga orang parti itu tahu bahawa Tok Guru akan berdoa supaya parti itu lingkup. Kalau dia berdoa senyap-senyap dan parti itu benar-benar lingkup, apa macam?

Orang itu dan parti itu nak salahkan siapa? Bila Tok Guru sebut, bolehlah mereka nak salahkan Tok Guru.

Hah, rupa-rupanya orang parti itu yang sudah lama berpolitik pun tidak tahu membaca silat politik juga. Rupanya banyak silat politik yang orang politik perlu belajar daripada Tok Guru.

Terima kasih Tok Guru.

Kamaa Tadiinu Tudaanu - Begitulah Hukum Alam

SATU - Begitulah dunia. Sekejap di atas sekejap di bawah. Dulu, kita melempar kasut kepada orang lain, hari ini kita pula dilempari.

Hari ini kita memperlakukan sesuatu kepada orang lain, besok akan ada orang lain yang memperlakukan sesuatu pula kepada kita. Hukum karma?

Mungkin juga, apa yang berlaku kepada kita pada hari ini adalah balasan kepada apa yang pernah kita lakukan terhadap orang lain suatu masa lalu.

Kewajipan kita? Ya, beramal. Biarlah amal itu dinilai Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman. Lihat Surah at-Taubah, ayat 105.

Demikianlah hukum alam.

DUA - Syabas, pasukan bolasepak negara kita kerana menewaskan Timor Leste, 11 – 0 dalam kempen Sukan SEA Laos. Timor Leste, negara yang punya penduduk lebih sedikit sejuta orang itu merdeka pada tahun 2002. Penduduk Islamnya hanya 3 peratus berbanding Kristian, 90 peratus.

Namun, ada harapan yang lebih tinggi daripada sekadar menewaskan Timor Leste. Ya, tewaskan Thailand yang menjadi juara Sukan SEA sebelum ini. Tetapi, sebelum itu tewaskan dulu Kemboja dan Vietnam.

Orang yang mengaku kuat, hanya akan diterima sebagai kuat apabila mampu menumbangkan orang yang kuat juga.

Demikianlah hukum alam.

TIGA – Tidak ramai (mungkin tiada) pemimpin PAS yang berminda tinggi sebegini. Pemimpin Umno juga tidak ada, mungkin.

Kini alam sedang menghukum manusia kerana apa yang dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri. Penipisan lapisan ozon, pencairan ais, peningkatan paras air laut dan macam-macam lagi, membingungkan manusia cerdik seperti saintis.

Mereka bingung bukan kerana tidak tahu puncanya, tetapi bingung mengenai cara mendidik manusia supaya lebih akrab bersahabat dan mesra bergaul dengan alam.

Tahukah kita mengenai ‘Rumah Hijau’? Kalau manusia bermusuh dengan alam, mereka tetap akan tewas.

Demikianlah hukum alam.

Rabu, Disember 02, 2009

BTN, Wajah Hodoh Umno

Jangan tanya pemimpin Umno mengenai isi kursus BTN, tetapi tanyalah kepada mereka yang pernah mengikuti kursus berkenaan.

Seorang sahabat memberitahu, “Semasa kursus berjalan, kalau nampak ada orang Cina yang lalu berdekatan tempat kursus, macam nak kejar dan tumbuk Cina tu.”

“Selesai kursus, kalau nampak Cina, rasa nak bertumbuk dengan dia saja,” getus seorang sahabat lagi.

Bila isu kursus BTN dibangkitkan barulah kabinet gelabah dan semua isi kandungan kursus yang berjalan selama ini dibubarkan.

Bukankah dengan tindakan itu kita boleh memahami bahawa memang sebenarnya isi kandungan kursus itu selama ini adalah seperti yang dirungutkan oleh orang ramai?

Kalau isi kandungan kursus itu baik dan bagus, mengapa perlu dibubarkan? Dan diganti pula dengan silibus 1 Malaysia. Apa tu? Kalau sesuatu itu bagus, biarkan berusia seribu tahun pun dia tetap bagus.

Betul, Umno memang parti perkauman. Bacalah perlembagaan parti itu. Parti itu bernafas dengan semangat perkauman dari dulu sampai sekarang.

Tetapi, perkauman parti itu tidak membawa orang Melayu kemana-mana pun. Orang paling kaya dalam negara ini adalah orang bukan Melayu, walau pun ‘dulu, kini dan selamanya’, Umno mengaku ia adalah parti Melayu. Nasib baik masih ada ‘Keretapi Tanah Melayu’.

Tembelang Umno pecah satu demi satu. Rupanya selama ini, Umno bukan kuat sangat pun. Parti itu hanya bergantung kepada jentera kerajaan untuk memastikan rakyat menyokongnya. Kalau harapkan jentera sendiri sudah lama Umno ditandai dengan nisan.

Banyak lagi tembelang Umno perlu dipecahkan. RTM, KEMAS termasuk Tadika KEMAS, Penerangan, Tadika-tadika Perpaduan, semua itu adalah agensi kerajaan. Agensi itulah yang ‘mengindoktrinasi’ masyarakat supaya melihat Umno sebagai bagus.

Selepas ini diharapkan supaya ada tindakan susulan terhadap tindakan ke atas agensi lain selepas BTN oleh kerajaan Selangor. Ke atas Tadika KEMAS dan Tadika Perpaduan, misalnya. Kedua-dua pusat didikan itu juga adalah pusat indoktrinasi Umno.

Tadika KEMAS dan Tadika Perpaduan tidak tahu buat apa-apa kecuali mengajar menyanyi dan menyanyi dan menyanyi. Lagunya adalah Chan Malichan Ketipang Payung dan Enjit-enjit Semut.

Hanya kebelakangan ini sahaja, ada inisiatif daripada beberapa buah tadika seperti itu yang mula mengajar doa-doa kepada anak-anak setelah melihat kejayaan tadika-tadika Islam seperti PASTI milik PAS atau TASKI milik ABIM.

Mereka buat itu semua pun bukan kerana kesedaran dan tanggungjawab pendidikan tetapi untuk menyaingi PASTI dan TASKI.

Wajah Umno semakin buruk selepas cadur yang menutupinya tersingkap. Itu baru muka, belum lagi tersingkap dadanya, lengannya, perutnya, pehanya dan …

Ahad, November 29, 2009

Tan Sri Dan Dato', Sudah-sudahlah Membodek Tu!

Bukan main lagi, seorang Mufti dan bekas Mufti negara ini menghentam MB Kelantan. Puncanya MB itu menyebut bahawa dia berdoa supaya Allah musnahkan masa depan PM Malaysia dan kumpulannya jika enggan memberi royalti petroleum kepada Kelantan.

Bagi mereka tindakan MB Kelantan itu salah, haram di sisi Islam. Sepatutnya dia berdoa untuk kesejahteraan dan kebaikan kepada Najib. Mengapa? Ya, Najib juga orang Islam. Lainlah kalau doa itu ditujukan kepada kafir harbi.

Seorang bekas Mufti pula berkata, berhajat supaya orang lain ditimpa keburukan bercanggah dengan al-Quran bahkan mencabar al-Quran.

Heee… seram sejuk macam minum ais pada musim hujan, memulas-mulas perut macam termakan gulai basi, bila membaca kenyataan kedua-dua makhluk itu. Bukan main lagi mencari hujah membela, mempertahan, memperkukuh tindakan Najib.

Benar, berdoa dengan keburukan dan kemusnahan kepada orang lain memang tidak boleh. Tetapi, kepada siapa? Berdoa supaya Tuhan menghukum orang yang merampas hak kita, bukan hak kita seorang tetapi hak rakyat keseluruhan, tidak boleh?

Bukan hak rakyat yang hidup di Kelantan pada hari ini sahaja tetapi termasuk hak rakyat yang Kelantan yang bakal lahir. Bukan hak rakyat Kelantan yang berparti PAS sahaja termasuk yang berparti Umno. Bahkan, termasuk rakyat Kelantan yang menjadi saudara-mara Harussani, saudara-mara Noh, termasuk saudara mara Najib dan Rosmah yang tinggal di Kelantan.

Najib tidak menunaikan hak, itu isunya. Berbagai usaha dilakukan untuk membolehkan hak itu ditunaikan, namun Najib macam pekak badak sahaja.

Orang yang pekak badak hanya boleh disedarkan dengan pukulan gong di telinganya. Pukulan gong itu bagi orang Islam ialah ‘doa’. Mudah-mudahan Najib dan orang-orangnya sedar apa yang dibuatnya itu.

Heee…geli-geleman macam nampak ular lidi, bila mendengar kedua-dua tokoh agama itu bercakap mengenai persaudaraan, silatur rahim, pohon maaf.

Sepatutnya kedua-dua tokoh itu menasihatkan Najib supaya menunaikan hak kepada yang berhak. Jangan sampai orang yang menuntut haknya hilang sabar sehingga dia tidak punya cara lain selain berdoa.

Harussani dan Noh ingat isu royalti petroleum isu kecil, isu main-main, isu sampingan? Royalti petroleum untuk Kelantan nilainya bukan seperti sebulan gaji campur elaun Dato' dan Tan Sri. Kalau Dato' dan Tan Sri boleh tidak berpuashati kalau elaun campur gaji Dato' dan Tan Sri tak dibayar, dan sedia berdoa untuk itu, ini royaltilah Dato' dan Tan Sri!

Jangan salahkan orang berdoa, tetapi salahkan orang yang tidak menunaikan hak. Berdoa salah, merampas hak tak salah. Aduh, perut semakin memulas-mulas, mungkin pasai banyak makan daging korban kot?

Sudahlah Harussani, sudahlah Noh. Apa lagi yang al-Fadhil Yang Berbahagia Dato’ dan Tan Sri nak cari? Perut Dato’ dan Tan Sri belum kenyang? Poket Dato’ dan Tan Sri belum cekang? Atau, Dato’ dan Tan Sri ada angan-angan lain?